Monday, October 19, 2009

Abul A’la Al-Maududi Sebagai Mujaddid

Sayyid Abul A’la al-Maududi dilahirkan di Aurangabad, sebuah wilayah di Hyderabad, India Selatan (Andra Pradfesh) pada 3 Rejab 1321 Hijrah bersamaan 25 September 1903. Abul A’ala al-Maududi berketurunan maudud, seorang perawi Hadith Rasulullah s.a.w. yang datang bersama dengan Muhammad bin Qasim untuk membuka India pada tahun 92H/ 711M. Sebab itulah beliau dikenali dengan al-Maududi. Salasilah keluarganya berhubung dengan Rasulullah SAW melalui Saidina Ali dan Saidina Hussien. Selama 30 tahun memimpin Jamaat Islami, beliau telah memberikan impak kepada dunia Islam dalam mencontohi gerakan bercorak politik ini. Al-Maududi meninggal dunia pada 22 September 1979 dalam usianya 76 tahun di New York.

Mujaddid adalah gelaran yang diberikan kepada al-Maududi. Gelaran ini, secara langsung membuktikan pengakuan dan penerimaan ulama Islam sedunia terhadap keunggulan dan ketokohan al-Maududi sebagai salah seorang ulama teragung dalam abad ke-20 ini yang secara kebetulan merupakan abad kebangkitan Islam. Mujaddid ialah istilah yang diberikan kepada orang-orang yang menjalankan kegiatan atau melaksanakan usaha memperbaharui, menghidupkan kembali dan menjernihkan semula Islam yang memenuhi konsep tajdid dalam erti kata sebenarnya. Perlu diperingkatkan bahawa istilah mujaddid tidak boleh digantikan dengan istilah modernist, reformist, revivalist dan sebagainya yang digunakan oleh sarjana Barat untuk melukiskan kegiatan yang sama di kalangan masyarakat Barat dan Primitif, apabila agama mereka tidak diminati lagi.

Justeru itu, pembaharuan dalam ajaran pokok agama tersebut adalah perlu. Pembaharuan dilakukan apabila agama tradisi mereka dilupakan dan unsur-unsur mendatang mulai diminati ramai. Dalam kedua-dua hal tersebut di atas perkara-perkara baharu yang berasal dari luar dibawa ke dalam kepercayaan tradisi mereka di samping mengekalkan beberapa unsur lama yang dapat diterima.

Walhal kegiatan mujaddid tidak membawa sesuatu ajaran yang asing ke dalam ajaran Islam, sebaliknya mengekalkan ajaran yang sedia ada dan membuang unsur-unsur yang mendatang yang bertentangan dengan Islam. Jika kita terima mujaddid sama dengan reformist dan lain-lain istilah yang digunakan di Barat dikhuatiri kita akan terperangkap dengan implikasi dari istilah yang digunakan oleh mereka. Reformist dalam masyarakat primitif dan Barat mengakui diri mereka sebagai Rasul. Sedangkan mujaddid dan Rasul itu terlalu jauh bezanya. Rasul menerima wahyu dari Allah s.w.t. manakala mujaddid mengembalikan kesucian wahyu itu setelah ia tercemar, lebih-lebih lagi Rasul mempunyai mukjizat namun sebaliknya pula mujaddid.

Anugerah gelaran mujaddid kepada al-Maududi didasarkan kepada sumbangannya yang besar dalam kegiatan ilmiyah, politik dan harakah Islamiyah. Kejayaannya menubuh dan memimpin Jama’at Islami amat dikagumi. Walaupun beliau menghadapi tekanan yang luarbiasa daripada parti Congress yang didokong oleh Inggeris, beliau berjaya mencapai matlamat perjuangannya. Sedangkan banyak pertubuhan dan pergerakan Islam berkubur tanpa dapat dikesan, dihapuskan oleh kuasa-kuasa penjajah di seluruh dunia Islam.

Sebagai seorang mujaddid beliau mempunyai visi bagaimana untuk menyelesaikan masalah umat Islam dan ramalan politiknya adalah tepat. Contohnya:

1. Beliau meramalkan bahawa keruntuhan pemerintahan islam (Khalifah) di Turki selepas perang dunia pertama (1913-1918) adalah didalangi oleh penjajah Inggeris. Konspirasi ini bukan sekadar terbatas di Turki, malahan di seluruh dunia. Buktinya umat Islam Turki bukan sahaja berjuang untuk menubuhkan kerajaan sekular di bawah pimpinan Kamal Ataturk, malahan menjalankan dasar permusuhan terhadap negara-negara Arab. Kesannya amat menguntungkan Inggeris. Perpecahan di kalangan umat Islam di seluruh dunia membuka jalan penaklukan Inggeris ke atas negara-negara Islam di Asia dan Afrika.

2. Ramalan beliau tentang kegagalan perpaduan di antara umat Islam dengan Hindu yang diusahakan oleh kedua belah pihak begitu tepat sekali. Ini boleh dilihat dengan adanya orang Islam melalui gerakan khalifah menyokong orang Hindu melalui Indian National Congress. Sebaliknya orang Hindu menyokong orang Islam melalui gerakan Khalifah. Jelas terbukti usaha ini sia-sia sahaja kerana pertumpahan darah sering berlaku di antara kedua-dua golongan tersebut.

3. Ramalannya sekali lagi tepat. Pada tahun 1970, beliau meramalkan bahawa kesan daripada tindakan parti-parti yang bertanding dam pilihanraya menggunakan isu nasionalisme dan kedaerahan akan menghancurkan Pakistan. Selepas pilihan raya berlaku perang saudara di Pakistan Timur yang berakhir dengan terbentuknya Bangladesh pada tahun 1971.

4. Dalam memperjuangkan masa hadapan umat Islam, al-Maududi mempunyai visi atau pandangan yang jauh, iaitu umat Islam mestilah mengelakkan diri daripada bermusuhan secara terbuka dengan orang Hindu. Mereka bukan sahaja terlalu ramai jumlahnya, tetapi mereka juga disokong kuat oleh Inggeris. Strategi inilah yang membawa kejayaan penubuhan Pakistan dalam tahun 1947.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment