Monday, October 19, 2009

Takzir dan Malaysia~

Dari segi bahasa ta’zir bererti menolak atau menghalang. Manakala dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.

Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan dan bukan untuk menyeksa mereka.

Secara ringkasnya, ta`zir ialah hukuman bagi jenayah atau kesalahan yang selain daripada jenayah hudud. Contoh-contoh hukum ta`zir ialah seperti hukuman dalam semua kesalahan yang terdapat dalam undang-undang yang diamalkan di negara ini seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pengangkutan Jalan, Akta Buruh, Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Perbankan, Kanun Acara Jenayah, Kanun Keseksaan dan semua akta atau kanun yang ada di dunia ini yang dibuat dan digubal oleh manusia melalui dewan perwakilan rakyat.

Walau bagaimanapun, apabila kita mengatakan semua akta atau kanun buatan manusia itu sebagai hukum ta`zir, itu tidak bermakna semuanya bertepatan dengan Islam. Di antaranya ada yang bertepatan dengan kehendak Islam dan banyak juga yang bercangah dengan hukum Islam. Sebahagian contoh terdapat banyak percanggahan dengan hukum Islam dalam undang-undang Kanun Keseksaan yang diamalkan sekarang. Ada juga undang-undang Islam yang tidak dijadikan undang-undang dalam kanun tersebut, seperti kesalahan tuduhan zina (dan seerti dengannya seperti tuduhan liwat) yang merupakan kesalahan khas yang tidak boleh disamakan dengan tuduhan, fitnah atau selainnya.

Jadi, yang dikatakan salah dan berdosa ialah menjadikan kesalahan-kesalahan hudud dan bukan hudud sebagai ta`zir kesemuanya, kerana apabila kita menjadikan kesalahan hudud sebagai ta`zir, bermakna kita telah campur tangan terhadap keputusan Allah s.w.t. dalam kesalahan yang melibatkan hukum hudud.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment