Monday, October 19, 2009

Didik Anak Menyintai Allah

Anak-anak adalah merupakan amanah besar dari Allah buat ibu bapa. Lahir dari rasa cinta yang mendalam, anak-anak akan sentiasa dimanja dan ditatang sepenuh hati oleh ibu bapa. Sebaik-baik pendidikan akan diberikan kepada anak-anak demi melihat mereka membesar menjadi insan yang berguna dan berjaya. Dalam kelekaan ibu bapa memberikan pengisian akademik dan keduniaan ke dalam diri anak-anak, sewajarnya ilmu agama itu tidak harus diketepikan mahupun dikesampingkan.

Ilmu-ilmu Islam bukan sahaja perlu diambil cakna, malahan ia perlu dipasakkan dan diberatkan dalam diri anak-anak. Dari permulaan kandungan lagi seharusnya para ibu bapa mengenalkan anak-anak dengan Penciptanya. Pendidikan dari permulaan kewujudan ini akan menyebabkan anak-anak tidak terasa asing malah sentiasa dekat dengan Allah s.w.t. sehinggalah pada saat dia lahir ke dunia.

Rasulullah s.a.w. memerintahkan sekalian ibu bapa dan para pendidik untuk mengajarkan ucapan La ilaha illallah kepada anak-anak. Diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Abbas r.a. dari Rasulullah s.a.w. bahawasanya baginda bersabda:“Ajarkanlah kepada anak-anak kalian kata-kata pertama dengan La ilaha illallah”

Ibu bapa hendaklah mengajarkan anak-anak mereka dengan kalimah tauhid lantas membiasakan mereka dengan keyakinan yang mantap bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang disembah kecuali Allah Yang Maha Agung. Tunjukkan pada mereka bukti kekuasaan Allah melalui penciptaannya seperti pokok, bunga, kucing, langit, laut dan sebagainya. Nyatakan kepada mereka bahawa Allahlah yang menjadikan semua ini sehinggakan lahir dalam hati mereka keizzahan dan kekaguman betapa hebatnya kekuasaan Allah.

Nabi Muhammad s.a.w. juga menunjukkan kita betapa berharganya anak yang soleh itu kepada kedua ibu bapanya. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya”

Nyata di sini bahawa sesungguhnya anak yang soleh ada harta yang paling berharga buat ibu bapanya. Selain menjadi penyejuk mata dan penawar hati ibu bapa di dunia, mereka juga akan menjadi harapan buat ibu bapa di akhirat kelak.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

1 comment:

  1. ibu bapa lah org yang paling penting dalam melayari bahtera anak-anak ..jika bahtera itu karam maka rosaklah anak-anak tersebut ,,dan akan terjadilah gejalan sosial

    ReplyDelete