Monday, October 19, 2009

Peranan Kepimpinan Dalam Usaha Dakwah Ke Dalam Dan Ke Luar

Sepertimana yang kita sedia maklum, seseorang pemimpin memainkan peranan yang utama dalam menjalankan usaha dakwah samada kepada masyarakat muslim mahupun kepada masyarakat bukan muslim. Dalam hal ini, seseorang pemimpin seharusnya menjadi role model kepada masyarakat di bawah pemerintahannya agar boleh menjadi contoh yang terbaik samada pada ketika itu mahupun pada masa-masa akan datang.

Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dimana Baginda berjaya menarik ramai orang kafir musyrikin untuk memeluk Islam hanya disebabkan sifat-sifat peribadinya yang mulia. Sewajarnya hal ini menjadi contoh dan teladan kepada umat Muhammad s.a.w dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat.

Terdapat hadis di mana apabila para sahabat bertanya kepada Saiditina Aisyah r.a tentang sifat Rasulullah s.a.w, lalu Aisyah r.a menjawab dan mengatakan sifat Rasulullah s.a.w seperti al-Quran. Dapat dibayangkan di sini betapa mulianya sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w sehingga disamakan dengan al-Quran yang tinggi martabatnya.

Menjadi salah satu syarat bagi seseorang pemimpin untuk bersikap adil terhadap masyarakat di bawah pimpinannya. Apabila seseorang pemimpin menjalankan tanggungjawabnya dengan bersikap adil, hal ini sekaligus akan menarik minat masyarakat bukan muslim untuk mendekati lebih dalam tentang agama Islam. Dalam masa yang sama, pentadbiran yang dijalankan ke atas sesebuah masyarakat akan menjadi lebih aman dan harmoni.

Pada hari ini, dapat kita perhatikan kebanyakan pemimpin yang diberikan kepercayaan memegang tampuk kepimpinan lebih bersikap pilih kasih atau pilih bulu dalam sesebuah pentadbiran di mana dalam hal ini, mereka lebih mementingkan keluarga terdekat yang tiada kelayakan dalam perlantikan sesebuah organisasi mahupun dalam pengadilan sesuatu perkara.

Terdapat juga pemimpin yang memilih kasih dan hanya memandang kepada bangsa, warna kulit dan paras rupa semata-mata. Dalam Islam setiap manusia adalah sama di sisi Allah s.w.t dan yang membezakannya hanyalah iman dan taqwa di dalam diri masing-masing. Jadi tidak wujud perbezaan kaum atau warna kulit dalam sesebuah masyarakat dan seharusnya seseorang pemimpin memandang adil kepada semua ahli masyarakatnya.

Perkara ini sekaligus akan menjadi kekaguman kepada masyarakat bukan muslim di mana mereka menaruh kepercayaan kepada pemerintahan dan pentadbiran yang dipimpin oleh pemimpin muslim yang adil lagi saksama. Tanpa disedari mereka akan lebih mudah serta tertarik untuk mengenali Islam dan secara tidak langsung dakwah dapat disebarkan dengan jayanya.


Seseorang pemimpin Islam yang diberi mandat untuk mentadbir sesebuah pemerintahan seharusnya menjalankan dan menguatkuasakan undang-undang yang berlandaskan kepada hukum Islam. Sepertimana yang kita sedia maklum, undang-undang Islam adalah bersifat universal di mana ianya sesuai untuk diamalkan pada semua keadaan, masa dan tempat. Sehingga kini, sekiranya undang-undang Islam diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sudah tentu kadar jenayah pada hari ini dapat dikurangkan.

Mungkin terdapat segelintir masyarakat bukan muslim yang menganggap undang-undang Islam adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan, namun sekiranya mereka memikirkan kesan-kesan yang diperoleh serta penerangan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin tertentu, sudah tentu mereka akan kagum serta tertarik dengan undang-undang Islam yang telah tercatat di dalam al-Quran yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. yang begitu universal untuk umat manusia. Dengan memahami kaedah perlaksanaan hukum Islam ini dengan baik, tidak mustahil masyarakat sendiri yang akan menuntut agar hukum Islam dilaksanakan dalam pentadbiran negara.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment