Monday, October 19, 2009

Mahasiswa dan kehidupan

Pelajar Institusi Pelajaran Tinggi (IPT) seringakali dikaitkan dengan masalah gejala sosial yang agak keterlaluan. Berita-berita mengenai akhlak buruk pelajar IPT diandaikan seimbang dengan kadar berita-berita mengenai kehebatan dan kejayaan sebahagian di kalangan mereka. IPT yang seharusnya dijadikan tempat untuk menimba ilmu pengetahuan kini telah diselewengkan oleh segelintir pelajar yang seperti baru mengenali hidup.

Jika sebelumnya mereka sentiasa berada dalam biah(keadaan) yang baik, namun apabila menjejaki alam kampus, semuanya menjadi suatu kejutan buat mereka. Tanpa kawalan ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling yang mengambil peduli, mereka merasakan nikmat kebebasan yang tiada nilainya. Tidak kira apa latarbelakangnya, apabila berada di universiti semuanya berubah hanya berbeza pada tahap sama langsung berubah mahupun sedikit berubah. Bukan sahaja pelajar yang tidak bertudung membuat perangai, malahan amatlah sayang kerana ada di kalangan pelajar ini yang punya latar belakang pendidikan agama yang kuat telah jauh terpesong dari landasan yang sebenar.

Harus diakui, kehidupan sebagai mahasiswa ini terlalu banyak ujian dan cabarannya. Namun, ini tidak harus dijadikan alasan untuk curang dari perintah agama. Mahasiswa seharusnya bijak dalam menangani situasi diri dan keadaan sekelilingnya.

Universiti sebagai satu medan pembelajaran, bukan sahaja memberi ilmu akademik semata, malahan mengajar mahasiswa akan erti kehidupan itu sendiri. Mereka seharusnya sedar bahawa tanggungjawab mereka amatlah besar dalam menentukan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Lantas, seharusnya masa pengajian yang ada digunakan sebaiknya dalam mengutip sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang ada.

Bagi menetapkan diri agar tetap berada di jalan yang benar, maka bertemanlah dengan orang-orang alim yang diyakini agamanya, selain menjadi teman menegur mereka juga akan menjadi suatu tarbiyyah buat diri sahabatnya. Terlalu banyak majlis ilmu yang diadakan bagi memenuhi keperluan rohani mahasiswa andai mereka benar mencari. Apapun, Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu. Pohonlah padaNya pada saat sukar dan senang. Maka, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment