Monday, October 19, 2009

~Baitul Muslim Sebagai Wadah Berdakwah~

Keluarga bukanlah seperti sebuah kilang yang hanya menghasilkan produk-produk lantas memasarkan dan membiarkannya begitu sahaja bahkan makna keluarga yang sebenar adalah lebih jauh dari itu. Keluarga yang hakiki itu adalah seperti sebuah sekolah yang akan mendidik, mengasuh lantas melahirkan produk-produk yang berkualiti hasil dari tarbiyah dan didikan yang sempurna dari ibu dan bapanya. Lebih hebat dari itu, sebuah keluarga muslim adalah pemerintah yang mentadbir negerinya dengan baik dan ahli di dalamnya faham akan setiap amanah dan tanggungjawab masing-masing.


Pada dasarnya, membina baitul muslim(rumah tangga muslim) itu bukan mudah. Prosesnya bukanlah bermula selepas akad nikah, tetapi bertahun-tahun sebelum daripada itu lagi. Memperbaiki diri sendiri lantas menyeru manusia ke arah kebaikan dan menegahnya dari melakukan perkara yang keji dan mungkar merupakan antara kewajipan utama seseorang hamba. Untuk melaksanakan hal ini, tenaga gerak kerja yang ramai adalah sangat diperlukan. Jika dilihat pada realiti dunia pada hari ini, Islam semakin terasing dalam diri penganutnya sendiri.


Maka di sinilah letaknya amanah besar di atas bahu setiap umat Islam hasil dari tarbiyah yang diterima untuk mengembalikan semula kefahaman Islam yang kukuh ke dalam diri setiap individu yang telah mengucapkan kalimah syahadah. Untuk melaksanakan amanah ini, hasil-hasil produk tarbiyah yang lahir dari baitul muslim adalah sangat-sangat diperlukan.


Baitul muslim adalah dibina daripada dua individu muslim yang faham Islam lantas seterusnya beriltizam untuk melahirkan anak-anak yang juga faham islam. Tarbiyyah di dalam baitul muslim sangat penting kerana di situlah sekolah pertama anak-anak islam ini. Maka, tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak) di rumah merupakan antara peringkat terpenting dalam rangka membentuk kefahaman anak-anak ini. Daripada anak-anak ini, maka akan terhasillah pula masyarakat yang faham Islam dan akan sama-sama memberi kefahaman tentang Islam pula kepada orang lain. Seterusnya, daripada masyarakat yang faham tentang Islam ini, akan terbinalah pula negara yang faham tentang syariat Islam yang sebenarnya. Ianya tidak akan hanya terhenti di situ, bahkan akan terus berkembang ke seluruh pelosok dunia membentuk empayar Islam sehinggalah Islam itu menjadi ustaziatul alam atau penjaga kepada alam sejagat.


Tidak keterlaluan jika dikatakan keluarga adalah merupakan cerminan kepada masyarakat. Peranan keluarga di dalam masyarakat tidak dapat dinafikan kerana kekuatan dan kepaduan masyarakat bergantung kepada keelokkan keluarga, bahkan kehancuran dan kerosakan masyarakat banyak disebabkan oleh kehancuran dan kerosakan keluarga.


Keluargalah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak lantas mencorakkan hidup mereka, seperti mana pesan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya:
“Setiap anak itu dilahirkan di atas fitrah dan ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Nasrani ataupun menjadikannya Majusi”.


Islam sebagai agama yang syumul telah mempamerkan pelbagai panduan dalam melayari laluan kehidupan. Sungguh, eloknya umat Islam hanya dapat dicapai dengan cara kembali kepada ajaran Islam itu sendiri. Dalam seluruh aspek kehidupan, kemasyarakatan, ekonomi mahu pun politik ajaran Islam seharusnya dipraktikkan dan dipasakkan di dalam diri. Asas dari seluruh elemen masyarakat adalah sebuah keluarga muslim..


Tegaknya sebuah keluarga muslim memberikan impak yang sangat besar bagi terlaksananya dakwah Islamiyah. Islam sendiri memberikan tanggungjawab yang begitu besar kepada keluarga baik dia seorang ayah mahu pun ibu untuk memberikan pendidikan, pengetahuan, dakwah dan bimbingan kepada anggota keluarga. Pembinaan yang demikian inilah yang akan menyelamatkan dan memberikan penjagaan kepada diri dan keluarga. Sedarilah peringatan Allah s.w.t. melalui firmannya:


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalahlah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”

(At Tahrim, 66 : 6)

Berkaitan dengan tanggungjawab keluarga muslim ini Nabi Muhammad s.a.w. menerangkan secara umum tanggungjawab seorang pemimpin dengan sabdanya:


Ketahuilah bahawa kalian semua adalah pemimpin, dan kalian akan ditanya tentang kepemimpinan kalian. Pemimpin di antara manusia dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga serta anak-anak suaminya dan dia akan ditanya tentang mereka. Pembantu adalah pemimpin dari harta tuannya dan dia akan ditanya tentangnya. Ketahuilah bahwa kamu sekalian adalah pemimpin dan kalian akan ditanya tentang kepemimpinannya

(HR Bukhari)


Secara mudahnya, baitul muslim ini adalah suatu proses berterusan yang akan sentiasa bergerak seiring dengan latihan membangun kendiri ahli dakwah, yang bergerak menghala objektif yang mewujudkan masyarakat Muslim (Mujtama’ Muslim) kemudian Negara Islam (Daulah Islamiyyah) seterusnya Pemerintahan Islam (Khilafah Islam) dan ke peringkat terakhir Islam akan menjadi penjaga sejagat alam (Ustaziatul ‘Alam).



~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

1 comment:

  1. assalamualaikum..
    seharusnya wadah baitul muslim yang baik perlu dijadikan contoh tauladan..
    Contohilah rumahtangga Rasulullah..

    ReplyDelete