Monday, October 19, 2009

Ikhlas...paksa!! untuk rela

Terlalu banyak perkara yang boleh dibincangkan andai ia berkait dengan hati. Sedang hadis pertama di dalam hadis 40 sendiri berkait dengan niat yang merupakan lintasan hati.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Khattab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang ditujuinya itu.

Hati adalah organ terpenting yang merajai diri. Hati seseorang kekadang boleh dinilai melalui akhlak dan tingkah lakunya. Seorang mukmin yang meyakini keagungan tuhannya tidak akan tergamak untuk melakukan perkara mungkar yang nyata mengkufuri perintah penciptanya. Hati manusia juga perlu sentiasa dididik dengan tarbiyah Rabbani agar dia tidak lalai dan tergoda dengan bisikan syaitan yang menipu.

Ikhlas letaknya jauh dalam hati. Adalah sukar untuk menilai keikhlasan seseorang hanya dengan melihat lahiriah dan gerak laku fizikal semata. Yang penting usahanya adalah pada manusia, sebelebihnya cukuplah Allah sebagai penentu segala. Andai ikhlas itu boleh dibeli, pasti ramai yang bersiap siaga untuk mengorbankan apa sahaja demi mendapatkan sebuah keikhlasan. Namun, ikhlas bukanlah semudah itu. Satu mujahadah yang besar bagi pejuang sangat perlu untuk mencapai peringkat ikhlas.

Ikhlas tidak lahir begitu sahaja. Ianya perlu dipupuk dan dididik lantas dipasakkan dalam diri agar sesuatu yang janggal menjadi tabiat. Contoh mudah yang dapat dibuat adalah solat 5 waktu. Berapa ramai di kalangan kita termasuk diri penulis sendiri yang hatinya ikhlas semata-mata kerana Allah dalam menunaikan solat. Namun, ini tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu meninggalkan solat kerana dia tidak ikhlas melakukannya. Konon tidak mahu hipokrit, maka ditinggalkan perkara yang tidak ikhlas dilakukan.

Pemahaman seperti ini sewajarnya diperbetulkan kembali. Syaitan seringkali menggoda manusia dengan pelbagai cara. Manusia seharusnya lebih bijak menangani tipudaya itu dengan mengukuhkan tahap keimanan dalam diri dan mengalahkan strategi yang telah dirancang syaitan dan nafsu.

Paksa diri untuk rela dan redha. Didik diri untuk pasrah dengan ketentuan dan takdir Tuhan. Didik diri untuk memahami ujian dan hikmah disebaliknya. Kentalkan jiwa untuk melaksanakan setiap yang diperintahkan dan menjauhi semua larangan. Timbulkan kecintaan yang dalam bahawa Allah adalah segalanya dan cukuplah Allah untuk kita.

Pemaksaan diri yang akan membawa kepada perlaksanaan yang selalu dapat membiasakan diri dengan sesuatu ibadah lantas menjadi tabiat dan kebiasaan yang menarik. Yang pasti niatkan ibadah semata-mata kerana Allah bukan kerana hal-hal selainnya maka inilah yang diertikan sebagai Ikhlas. Kebanyakan umat islam hanya menyangka bahawa ikhlas itu ertinya rela, padahal erti ikhlas yang sebenarnya adalah memurnikan sesuatu hanya semata-mata kerana Allah...

~salam mujahadah
al-faqir ilAllah~

No comments:

Post a Comment