Monday, October 19, 2009

Sekularisme...dan kita??

Kita dapat melihat bahawa kemunculan ideologi sekularisme bermula di Eropah pada abad pertengahan dan telah banyak berlaku perubahan dalam pelbagai aspek yang meliputi kehidupan manusia. Sehingga kini, implikasi-implikasi sekularisme begitu mendalam dan sukar sekali untuk kita hapuskan kerana perkembangan sekularisme telah lama bertapak di dunia ini. Sekulaisme juga telah sebati dalam kehidupan manusia secara zahirnya dan amat bercanggah dengan ajaran Islam. Jika diperhatikan, sekularisme banyak memberi kesan negatif ke atas pemikiran dan kehidupan manusia.

Ajaran dan fahaman sekular ini menganggap kerpercayaan kepada agama dan tuhan tidak lagi berfungsi dalam kehidupan mereka. Agama yang sepatutnya menjadi panduan utama telah dijadikan pilihan peribadi kepada mereka yang berminat sahaja. Maka, ia sememangnya menyalahi akidah dari sudut uluhiyyah dan rububiyyah lantas bakal membawa kepada terbatalnya syahadah. Pemisahan agama dari kehidupan ini menunjukkan percanggahannya dengan hukum Islam serta mencantas kesyumulan Islam yang menekankan kesepaduan.

Fahaman inilah yang menyebabkan keimanan seseorang menjadi lemah, meruntuhkan benteng akidah dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah serta perkara-perkara yang menyebabkan keimanan umat Islam semakin rapuh. Maka ramailah umat Islam akan murtad dan hidup jauh dari landasan agama dan sudah pastilah orang-orang yang berfahaman sekular ini akan bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat pembawaan fahaman mereka ini telah berjaya dilaksanakan khususnya terhadap umat Islam.

Fahaman ini juga telah menular dalam sistem pendidikan. Penerapan unsur-unsur sekular dilakukan menerusi penulisan buku-buku yang disebarkan ke sekolah-sekolah. Kesannya masyarakat muslim yang kurang kefahaman tentang Islam akan mudah terpengaruh.

Jika dilihat dari konsep pendidikan yang ada sekarang, telah nyata sesungguhnya fahaman sekularisme telah berjaya diadaptasikan dalam kebanyakan sekolah yang ada. Wujudnya pemisahan di antara sekolah agama dan sekolah kebangsaan, manakala kursus-kursus di universiti juga punya pembahagian melalui tawaran pembelajaran sama ada kursus agama, sains dan lain-lain lagi. Pemisahan yang berlaku ini bakal melahirkan pelajar muslim yang cetek ilmunya kerana pembelajaran yang diterima tidak menyeluruh malahan dalam bidang tertentu sahaja.

Sistem pendidikan yang dibawa British telah mewujudkan percampuran antara lelaki dan perempuan ketika sesi pembelajaran. Mereka menyatakan bahawa ia untuk kemajuan dan kemodenan serta mendakwa percampuran itu dapat mematangkan fikiran tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia.

Kekuatan fahaman sekular juga telah menular ke dalam kehidupan sosial di kalangan masyarakat di Malaysia. Sebelum ini, kita dapat melihat bahawa wanita dan anak-anak perempuan dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya dalam sesebuah keluarga Islam. Mereka menjaga kesucian dan sopan santun mereka serta menjauhi jendela kejahatan dan kerosakan. Tetapi dewasa ini, mereka telah dicemari dengan budaya yang dibawa oleh Barat yang berfahaman sekular dengan tujuan untuk menghapuskan nilai-nilai ketimuran seterusnya mengikut jejak langkah orang-orang Barat.

Dalam kajian sosial, wujud hubungan antara pendidikan dan material. Mutakhir ini, kebanyakan ibu bapa membiarkan anak-anak mereka hidup bebas tanpa kawalan. Mereka ghairah mengumpul kekayaan tanpa mengambil peduli hal anak-anak mereka sehingga mengakibatkan anak-anak mereka melalui kehidupan yang songsang dari ajaran agama. Akhirnya akidah mereka menjadi goyah dan mudah terpengaruh dengan kebendaan. Kegawatan akidah dan sosial sememangnya berpunca daripada kealpaan kita menekankan agama dalam kehidupan. Kita terlalu mementingkan ekonomi, hiburan dan permainan. Ini membuktikan ciri-ciri sekular itu memang tepat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan tiadalah kehidupan di dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidaklah kamu memahaminya”

Dapat dizahirkan di sini bahawa fahaman sekular ini amat berbahaya bagi Islam kerana kefahamannya yang mementingkan keduniaan semata-mata, sedangkan agama Islam menekankan sama kehidupan akhirat. Sebagai contoh, kesan sekularisme terhadap masyarakat dan agama mengakibatkan banyak berlaku kepincangan dalam susunan kehidupan dan ia telah melawan arus fitrah agama Islam itu sendiri iaitu agama yang merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Sekularisme memisahkan mentaliti umat Islam daripada berfikir berdasarkan roh Islam yang suci lagi benar. Oleh itu, orang-orang Islam mestilah berpegang teguh kepada Islam dalam segala sistem akidah dan syariat tanpa pengecualian. Peranan kita sebagai masyarakat yang waras dan berpegang dengan agama yang kukuh terhadap masalah ini haruslah jelas dan nyata iaitu tidak mudah terpedaya dengan rasionalistik, materialistik dan individualistik tetapi menerima dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar iaitu mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment