Monday, October 19, 2009

Wadi’ah Dan Relevannya Dengan Keadaan Semasa

Kaedah perbankan Islam bukanlah satu isu kampung dan lapuk yang segan dipaparkan, malahan perlaksanaan perbankan Islam kini telah mencapai peringkat antarabangsa. The 2nd Islamic Venture Capital & Private Equity Conference 2009 yang telah diadakan pada 20 dan 21 Mei 2009 di Kuala Lumpur Convention Centre telah menyaksikan pembentangan-pembentangan berkaitan perbankan Islam yang mana speaker dan pembentangnya terdiri dari pelbagai negara seperti Turki, Dubai, Itali, Jepun dan pelbagai lagi. Hal ini menunjukkan masyarakat antarabangsa yang kebanyakannya bukan beragama Islam juga sudah mula menyedari kelebihan sistem perbankan Islam itu sendiri.

Penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menandakan satu petanda baru kepada pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia. BIMB, seperti bank-bank perdagangan yang lain, menjalankan perniagaan perbankan tetapi berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Bank tersebut menawarkan produk-produk deposit seperti deposit semasa dan deposit simpanan yang berdasarkan konsep Al-Wadiah (dengan jaminan) dan deposit pelaburan yang berdasarkan konsep Al-Mudharabah (perkongsian keuntungan).

Perkataan wadi’ah dari segi bahasa membawa maksud seseorang mengamanahkan sesuatu kepada orang lain agar dapat dijaganya sementara waktu, kemudian ia akan datang untuk mengambilnya semula. Dari sudut istilah wadi’ah bererti suatu akad penyerahan dan simpanan sesuatu harta kepada sesuatu pihak lain yang bukan pemiliknya untuk tujuan penjagaan dengan cara yang ditentukan. Tujuan daripada akad tersebut ialah untuk menjaga keselamatan barang tersebut daripada kemusnahan, kehilangan, kecurian dan sebagainya.

Dalam fiqh terdapat dua jenis al-wadi’ah, iaitu wadi’ah yad al-amanah (Trustee Safe Custody) dan wadi’ah yad al-dhamanah (Guaranteed Safe Custody). Di bawah wadi’ah yad al-amanah pemegang amanah hendaklah menjaga amanah tersebut seperti mana dia menjaga hartanya sendiri. Sebagai kontrak amanah, wadiah jenis ini tidak mengenakan sebarang liabiliti kepada penjaga dalam kebiasaan kes kehilangan atau kerosakan kecuali dalam kes kecuaian. Sebarang faedah yang bertambah dengan sendirinya daripada deposit tersebut adalah kepunyaan pemilik sebagai keuntungan kepada deposit. Jika pemegang amanah itu gagal menjalankan tanggungjawabnya maka al-wadi’ah yad al-amanah akan bertukar menjadi al-wadi’ah yad al-dhamanah di mana dia perlu memulangkan barang tersebut kepada pemiliknya sekiranya barang itu hilang atau musnah.

Wadi’ah yad al-dhamanah pula adalah kombinasi daripada dua kontrak iaitu kontrak simpanan (wadi’ah) dan jaminan (damman). Penjaga mempunyai hak di atas sebarang pendapatan yang terbit daripada penggunaan aset deposit. Oleh kerana penjaga yang memiliki keuntungan, dia boleh menggunakannya mengikut kemahuannya dan boleh memberikan sebahagian keuntungan tersebut sebagai pemberian (hibah) kepada penyimpan.

Antara dalil al-Quran yang menunjukkan pensyariatan al-wadi’ah ialah:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil"(Al-Qur’an, Al-Nisa 4:58)

Pensyariatan al-wadi’ah juga disokong dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w.:
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda:

“Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah dan janganlah kamu berlaku khianat kepada orang yang mengkhianatimu”.

Ijmak para ulama semenjak zaman para sahabat sehingga hari ini bersepakat dalam menyatakan keharusan al-wadi’ah.

Berkaitan dengan Wadi’ah yad ad-dhamanah, bank syariah mendapat manfaat dari penggunaan barang simpanan tersebut. Oleh sebab itu, bank syariah diperbolehkan membahagikan keuntungan tersebut sebagai bonus atau hadiah kepada mereka yang menyimpan dana dengan skim wadiah yad ad-dhamanah. Bonus ini dilihat sebagai tambahan yang mirip dengan bunga dari tabungan konvesional. Perbezaan ketara antara bonus simpanan wadiah dengan bunga bank konvesional adalah pada bank konvesional dengan sistem bunga, bank menjanjikan suatu kadar tertentu untuk nilai wang yang disimpan. Penentuan suku bunga dibuat dengan pedoman dasar harus selalu menguntungkan pihak bank. Nilai ini harus dipenuhi dan tidak mempedulikan samaada mereka rugi atau untung besar.

Meskipun jumlah keuntungan berlipat kali ganda saat keadaan ekonomi sedang baik, bank tetap hanya akan membayar sejumlah nilai yang dijanjikan. Cara simpanan seperti ini akan merugikan salah satu pihak. Sedangkan, bank syariah tidak menjanjikan bonus untuk sesuatu simpanan dengan skim wadi’ah. Bonus dapat diberikan sesuai dengan keadaan kewangan bank syariah setelah perhitungan dan proses bagi hasil antara bank dan pelanggannya. Keupayaan bank-bank perdagangan menawarkan perkhidmatan sistem dwi perbankan yang mana perbankan Islam beroperasi selari dengan perbankan konvensional merupakan kejayaan besar dalam sistem perbankan tempatan. Produk-produk baru perbankan Islam yang berlandaskan konsep Syariah seperti Al-Wadiah, Al-Mudharabah, Al-Bai Bithaman Ajil, Al-Murabahah, Al-Ijarah, Al-Wakalah, Al-Kafalah, Al-Qardhul Hassan dan Al-Rahn telah diperkenalkan.

Dunia globalisasi hari ini menyaksikan perkembangan sistem ekonomi yang amat pesat. Ini kerana kecenderungan manusia ke arah kemajuan merupakan fitrah yang tidak dapat disangkal. Sejajar dengan perkembangan itu, Fiqh Islami menerusi para ulamak dan sarjana Islam telah mengemukakan perbincangan di dalam menentukan halal-haram sesuatu sistem untuk memenuhi kesejahteraan manusia. Umumnya ekonomi merupakan salah satu dari aspek penting di dalam kehidupan seharian manusia. Justeru melihat contoh: Allah menghalalkan jual-beli dan di dalam masa yang sama mengharamkan riba.

Seperti yang kita semua maklum, dalam apa jua bentuk urus niaga, pelanggan hanya berminat menggunakan produk-produk yang dapat menawarkan mereka pulangan yang tinggi. Justeru, selaras perkembangannya, kakitangan Perbankan Islam disarankan lebih proaktif dalam menerangkan perbezaan dan manfaat antara produk Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional.

Perkembangan pesat Perbankan Islam menjadikan negara ini sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan Perbankan Islam dari kalangan orang luar. Menurut BIMB Institute of Research & Training Sdn. Bhd. (BIRTH) iaitu pakar runding bagi pembangunan produk-produk Perbankan Islam, kebanyakan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan Perbankan Islam yang diadakan di negara kita telah mendapat sambutan hangat daripada para peserta luar negara.

Di samping itu, pelopor dan ketua-ketua institusi Perbankan Islam tempatan sering dijemput untuk membentangkan kertas kerja di seminar Perbankan Islam yang diadakan di luar negara. Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada negara kita sebagai pusat perkembangan Perbankan Islam di rantau ini. Dan memandangkan sekarang ini telah banyak institusi perbankan yang menawarkan produk-produk Perbankan Islam yang komprehensif, sudah tiba masanya masyarakat Islam mempelopori Perbankan Islam yang memiliki banyak kelebihan secara sepenuhnya.

~salam mujahadah
al-faqir ilallah~

No comments:

Post a Comment